Sunday, September 25, 2011

KARANGAN BM 2 STPM (ISU PEMBUANGAN BAYI)

Soalan;
Hampir setiap minggu media massa memaparkan kes pembuangan bayi. Kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Telah banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk menbasmi gejala ini. Namun usaha ini tidak menampakkan hasil,malah gejala ini semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat dibendung lagi. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk membendung gejala buruk ini.

___________________________________________________________________________

Jawapan;

Sedasawarsa ini,isu pembuangan bayi semakin hangat diperdebatkan di negara kita. Hal ini dapat dilihat menerusi pemaparan oleh media massa hampir setiap saat dan ketika,laporan kes pembuangan bayi terus kepada rakyat. Akibatnya,gejala yang tidak bermoral seperti ini seolah-olah mencerminkan sikap segelintir masyarakat Malaysia yang selama ini bertopengkan syaitan. Segelintir belia,khasnya yang merupakan pelaku utama jenayah ini,jelas memperlihatkan identiti diri mereka yang sememangnya kian rapuh dirajai nafsu. Kita sering dihidangkan dengan berita kematian bayi yang amat menyayat hati,malah terdapat segelintir yang sanggup mengepam janinnya ke dalam tangki hanya untuk melupuskan bukti kelahiran,tanpa rasa bersalah sedikitpun. Penelitian punca-punca yang menunjangi kebejatan masalah ini serta langkah-langkah yang boleh diambil akan mewarnai fokus perbincangan kita.

Kita tidak dapat menyangkal bahawa pengaruh media massa merupakan faktor perdana kepada permasalahan ini. Dalam era ledakan teknologi maklumat ini,sebarang maklumat pornografi boleh dimuat turun dengan mudah menerusi jaringan internet,tanpa perlu bersusah payah untuk mendapatkan video cakera padat di pasaran. Walau bagaimanapun,masih terdapat sesetengah saluran televisyen yang memaparkan aksi lucah yang tidak ditapis terutamanya dalam drama bersiri barat. Nilai-nilai seperti ini jelas menolak unsur ketimuran dan remaja yang sememangnya mempunyai rasa ingin tahu yang menebal akan terdorong untuk meniru aksi yang telah ditonton oleh mereka bersama pasangan berlainan jantina. Kesannya pula akan dirasai oleh si gadis kerana keterlanjuran itulah yang mengundang kepada segala permasalahan. Remaja yang tidak berfikir panjang pula akan cuba menghapuskan kelahiran luar nikah itu dengan sebarang cara sekalipun membunuh. Maka,pengaruh media massa adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi dalam menunjangi permasalahan ini.

Seterusnya,keluarga yang bermasalah juga turut menyumbang kepada permasalahan sosial ini. Hal ini telah dibuktikan menerusi satu kajian yang mengatakan bahawa rata-rata remaja yang terlibat dalam penyakit sosial ini adalah mangsa keruntuhan institusi keluarga. Sikap ibu bapa yang terlalu obses mengejar materialistik bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi telah menjadikan mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak. Remaja yang dahagakan kasih sayang pastinya akan mencari jalan mudah dengan mencari hiburan yang mampu meleraikan kegersangan mereka,dan ini akan memandu mereka ke kancah maksiat. Setelah terjebak ke kancah sosial yang tiada penamatnya itu,pastinya kes mengandung anak luar nikah akan terjadi. Jalan singkat yang difikirkan,pastinya pengguguran mahupun membuang sahaja bayi tersebut kerana gusar akan dicemuh oleh masyarakat.

Selain itu,sudah terang lagi bersuluh,pastinya kurang penghayatan terhadap nilai agama dan tiada pengetahuan tentang batas-batas pergaulan merupakan pemacu kepada polemik ini. Asas didikan agama yang mapan dan cukup adalah elemen yang terpenting ke arah memacu kehidupan seseorang manusia. Penghayatan terhadap nilai-nilai agama pula mampu menjadi benteng kepada individu itu bertindak atas norma kehidupan manusia kerana individu tersebut sedar akan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan seperti penzinaan yang pastinya akan mengundang kehamilan luar nikah. Maka,ketiadaan penghayatan terhadap nilai agama mampu mewujudkan polemik sosial ini.

Bagi membendung masalah ini dari terus menjadi barah dalam kalangan remaja kita,amnya,langkah yang spesifik,drastik dan holistik perlu diimplementasikan sewajarnya agar pemasalahan ini dapat diatasi. Perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah peranan ibu bapa remaja itu sendiri ke arah menyediakan didikan yang cukup terhadap anak-anaknya. Didikan haruslah diterapkan sejak kecil lagi sesuai dengan peribahasa ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Pendidikan yang diberikan haruslah seimbang dari aspek rohani dan jasmani supaya setelah dewasa kelak mereka mampu menghadapi segala anasir-anasir luar. Perhatian yang sepenuhnya juga harus diberikan agar anak-anak tidak terasa terabai dan dihargai. Pemerhatian juga perlu dilakukan sentiasa terhadap aktiviti kanak-kanak supaya terkecuali dari melakukan sebarang gejala negatif seperti seks bebas,seterusnya pembuangan bayi.

Akhir sekali,pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan juga perlu bekerjasama untuk membantu mengurangkan masalah ini. Baru-baru ini,cadangan penubuhan ‘Tabung DNA’ merupakan satu langkah yang perlu disokong oleh seluruh rakyat kerana menerusi pelaksanaan ini,ibu bapa yang terlibat dalam kes pembuangan bayi akan lebih mudah untuk dikesan kerana setiap bayi yang dilahirkan akan diambil sampel DNAnya untuk simpanan pihak hospital. Selain itu,pihak Kementerian Pelajaran dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan perlulah menggiatkan lagi program-program kesedaran yang sedia ada bermula dari sekolah rendah lagi agar kesedaran timbul lebih awal dalam diri pelajar. Hai ini dikatakan mampu menjadi perisai kepada mereka kerana telah mempunyai maklumat tentang perkara yang sepatutunya dilakukan. Jika perlu,pengenalan subjek pendidikan seks juga boleh diambil kira.

Kesimpulannya,isu pembuangan bayi ini haruslah diberi perhatian yang sewajarnya oleh setiap pihak supaya gejala ini tidak terus-menerus menjadi barah yang mampu menjejaskan imej negara satu hari kelak. Segelintir rakyat kita seolah-olah telah hilang pedoman diri sehingga sanggup menganiayai nyawa bayi yang tidak berdosa. Segala agenda dan langkah yang telah dirangka oleh kerajaan haruslah difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak agar gejala pembuangan bayi tidak lagi menjadi nanah yang terus mencengkam kehidupan masyarakat.

Dihasilkan oleh NurAfizatul Azwa (6 Atas Arif, 2010)


No comments:

Post a Comment

Post a Comment